kompak.my

“Takbir Raya Bukan Bahan Gurauan Politik” – Dr Izhar Ariff

KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan agar menjaga adab dan tidak menghina pemimpin negara hanya kerana perbezaan pandangan politik, khususnya dalam isu bacaan takbir raya yang tular baru-baru ini.

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menegaskan bahawa perbezaan ideologi tidak wajar dijadikan alasan untuk memfitnah atau mempermainkan mana-mana individu, terutama pemimpin negara yang juga beragama Islam.

“Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya berakhlak dengan semua orang, lebih-lebih lagi terhadap pemimpin. Jangan kerana berbeza pandangan, kita hilang adab dan menjadi kilang dosa di dunia,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Beliau turut menyokong kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, yang meminta agar masyarakat tidak mempermainkan bacaan takbir raya demi kepentingan politik.

“Takbir raya itu tanda pengagungan kepada Allah, bukan soal suara merdu atau tidak. Apa yang penting adalah kita hayati makna dan hikmah di sebalik laungan itu,” ujarnya.

Dr Izhar turut menegur tindakan menyunting rakaman takbir raya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga kedengaran seperti ‘slow motion’ dan dijadikan bahan lawak di media sosial.

“Tindakan mengubah struktur video untuk tujuan politik adalah sangat tidak wajar, malah mencerminkan kejahilan dalam memahami nilai kesucian takbir raya,” tegasnya.

Menurut beliau, setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri, dan kekurangan pada suara seseorang tidak wajar dijadikan bahan sindiran.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya lebih berakhlak dalam menyebarkan sebarang kandungan di media sosial.

“Allah tidak melihat kelucuan sesuatu bahan, sebaliknya menilai keikhlasan dan ketaqwaan kita. Jadi, berhati-hatilah,” katanya lagi.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza menyifatkan isu ini tidak matang dan didalangi pihak tidak bertanggungjawab.

Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim pula memilih untuk tidak mengulas, bimbang kenyataannya disalah tafsir hingga mencetuskan polemik

Scroll to Top