kompak.my

Strategi Rundingan Malaysia Buka Peluang Perdagangan Lebih Adil – Pakar

PETALING JAYA,: Pendekatan Malaysia yang memilih jalan rundingan dalam menghadapi tarif baharu Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai langkah strategik yang berpotensi membuka ruang kepada hubungan perdagangan yang lebih saksama.

Menurut Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bertindak terburu-buru tetapi sebaliknya mengutamakan rundingan adalah pendekatan yang tepat.

“Malaysia tidak perlu menyerah segala-galanya secara tergopoh-gopoh. Kita perlu berunding dengan AS, dan dalam masa sama, lihat di mana kita boleh memberi sedikit kelonggaran untuk selesaikan isu yang dibangkitkan,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Katanya lagi, sebanyak 12 isu yang diketengahkan AS digolongkan sebagai halangan bukan tarif dan masih terbuka untuk dirundingkan.

“Saya percaya masih ada ruang untuk Malaysia respons kepada isu-isu ini secara diplomatik dan mencari penyelesaian lebih baik,” ujarnya.

Beliau turut menekankan peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dalam memastikan negara-negara anggota lain tidak terpinggir, khususnya yang terkesan dengan dasar tarif AS seperti Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

“Negara-negara ini bergantung kepada eksport barangan asas seperti kasut dan tekstil. Mereka berdepan cabaran besar untuk bersaing dalam pasaran global yang lebih canggih.

“Malaysia perlu tampil sebagai pemimpin dalam memacu rundingan serantau bagi melindungi kepentingan ekonomi bersama,” katanya.

Untuk rekod, pada 2 April lalu, Presiden Trump mengumumkan ‘tarif timbal balik’ ke atas import dari hampir 90 negara, dengan kadar cukai melebihi 10 peratus. Malaysia turut terlibat apabila eksportnya dikenakan tarif 24 peratus.

Susulan pengumuman itu, Malaysia merancang menghantar wakil rasmi ke AS bagi membincangkan isu tersebut.

Namun begitu, Trump kemudiannya menangguhkan pelaksanaan tarif baharu dan mengurangkan kadar kepada 10 peratus selama 90 hari, kecuali untuk China, bagi memberi ruang kepada rundingan lanjut.

Tarif tersebut diumumkan hanya beberapa jam selepas barangan dari negara-negara terbabit dikenakan sekatan import yang lebih ketat oleh Washington.

Scroll to Top