kompak.my

Semakan SST Bermula 1 Julai, Barangan Asas Kekal Tanpa Cukai

PUTRAJAYA,: Kerajaan akan melaksanakan semakan semula kadar dan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini sebagai langkah pembaharuan fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, penyesuaian itu bertujuan memperkukuh kedudukan fiskal negara serta meluaskan asas percukaian tanpa membebankan rakyat, khususnya golongan rentan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Penyesuaian ini memberi tumpuan kepada pengecualian cukai terhadap barangan keperluan dan memberi ruang khas kepada PMKS, termasuk melalui ambang hasil minimum yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perubahan baharu ini menyaksikan pelaksanaan kadar Cukai Perkhidmatan (CP) sebanyak 8 peratus ke atas beberapa perkhidmatan termasuk kewangan berasaskan fi atau komisen, kecantikan dan sewaan melebihi RM500,000 setahun. Sementara itu, kadar CP 6 peratus akan dikenakan kepada perkhidmatan pembinaan melebihi RM1.5 juta, penjagaan kesihatan swasta untuk bukan warganegara dan pendidikan swasta jika yuran tahunan melebihi RM60,000 seorang.

Bagaimanapun, barangan keperluan asas kekal pada kadar sifar bagi Cukai Jualan (CJ), manakala kadar 5 atau 10 peratus hanya dikenakan kepada barangan pilihan.

Beberapa perkhidmatan turut dikecualikan daripada CP, antaranya sewaan kediaman, pajakan aset luar negara, transaksi antara perniagaan, kontrak tidak boleh semak selama 12 bulan, serta perkhidmatan asas perbankan dan pembiayaan syariah. PMKS yang berpendapatan kurang RM500,000 setahun juga tidak dikenakan cukai.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan syarikat yang belum berdaftar tetapi menyediakan enam jenis perkhidmatan terlibat diberi tempoh sehingga Ogos 2025 untuk mendaftar. Kutipan cukai akan bermula pada September.

Dalam masa sama, kerajaan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan pelaksanaan SST berjalan lancar serta mengelakkan sebarang unsur pencatutan.

Scroll to Top