PETALING JAYA:Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menzahirkan penghargaan mendalam kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan luar biasa serta kasih sayang yang tidak pernah putus terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Dalam ucapannya sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Walid berkata tujuh tahun perkhidmatannya di Malaysia meninggalkan kenangan manis, terutama apabila melihat solidariti rakyat negara ini terhadap Palestin yang begitu menyentuh hati.
“Apa yang paling saya hargai ialah kesepakatan dan kasih sayang yang rakyat Malaysia tunjukkan terhadap Palestin. Malaysia sentiasa menjadikan Palestin sebagai keutamaan dalam dasar mereka — sama ada di peringkat tempatan, serantau mahupun antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, meskipun Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa dan pandangan, isu Palestin tetap menjadi titik penyatuan yang kukuh.
“Ke mana sahaja saya pergi, saya dapat melihat Palestin berakar di hati rakyat Malaysia. Kesepakatan moral ini memberi saya rasa bangga yang luar biasa,” ujarnya.
Walid turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia, sambil menegaskan keyakinannya terhadap sokongan berterusan negara ini terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Selamat Hari Merdeka dan Selamat Hari Malaysia. Kami yakin hari bersejarah ini melambangkan sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan adil rakyat Palestin. Terima kasih, Malaysia,” katanya.



