PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang disifatkan sebagai langkah penting dalam menjamin hak serta perlindungan kepada lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pemimpin itu menggesa kerajaan agar membentangkan RUU tersebut di Parlimen dengan segera tanpa sebarang penangguhan.
“RUU ini akan mengiktiraf pekerja gig dalam undang-undang negara buat kali pertama serta memberi jaminan pendapatan, perlindungan sosial dan mekanisme penyelesaian pertikaian,” kata mereka.
RUU Pekerja Gig 2025 dijangka menumpukan empat aspek utama, iaitu takrifan jelas terhadap pekerja gig, pengiktirafan pendapatan, penyelesaian pertikaian dan peluasan perlindungan sosial.
Menurut mereka, perjuangan membela nasib pekerja gig bukan perkara baharu, namun sudah tiba masanya golongan ini diberi perhatian serius.
“Ramai daripada mereka bekerja tanpa pendapatan tetap, tiada perlindungan sosial dan terdedah kepada pelbagai risiko,” jelas kenyataan itu.
Kekosongan dalam undang-undang sedia ada menyebabkan pekerja gig tidak diiktiraf sebagai pekerja formal dan gagal mendapatkan pembelaan sewajarnya di Mahkamah Perusahaan.
Mereka turut mengimbau tragedi nahas pesawat di Elmina tahun lalu yang meragut nyawa seorang pemandu e-hailing tanpa perlindungan sosial, menyebabkan keluarganya hilang tempat bergantung.
“Kejadian itu wajar dijadikan pengajaran bahawa pekerja gig perlu dilindungi melalui saluran undang-undang,” katanya.
Kedua-dua Ahli Parlimen itu turut menyeru semua wakil rakyat dan pihak berkepentingan agar menyokong kelulusan RUU berkenaan demi masa depan ekonomi digital negara.
“RUU ini bukan sahaja melindungi pekerja gig, tetapi turut mengiktiraf sumbangan besar mereka terhadap pembangunan ekonomi negara,” tambah kenyataan itu.



