kompak.my

Penganalisis Puji Pendekatan Diplomatik Malaysia Tangani Isu Tarif AS

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Penganalisis politik dan geostrategi, Dr Azmi Hassan memuji tindakan kerajaan Malaysia yang mengambil pendekatan diplomatik dalam menghadapi isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), tanpa membalas secara agresif.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai wajar memandangkan saiz ekonomi Malaysia yang kecil berbanding kuasa besar seperti China, Mexico dan Kanada.

“Kita tidak mahu berseteru. Sebab itu kita hantar wakil untuk berunding dengan AS.
Sama ada rundingan itu berjaya atau tidak, itu soal lain, tapi Malaysia tidak akan mengenakan tarif balas,” katanya yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).

Dr Azmi berkata, lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Washington baru-baru ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengekalkan saluran diplomasi.

Katanya, Malaysia juga berhati-hati agar tidak kelihatan terlalu condong kepada China, meskipun negara itu merupakan rakan dagang terbesar.

“Kita cuba buka lebih banyak ruang dagangan lain. Terlalu bergantung kepada satu pasaran sangat berisiko,” ujarnya.

Mengulas ketegangan perdagangan antara AS dan China, beliau menjelaskan Malaysia kini berada dalam kedudukan sukar apabila ditekan oleh kedua-dua kuasa besar.

“China beri amaran agar perjanjian dengan AS tidak jejaskan kepentingan mereka. Pada masa sama, AS juga beri tekanan agar kita tidak terlalu berdagang dengan China.
Malaysia tersepit di tengah-tengah,” katanya.

Tambah beliau, tarif AS yang dinaikkan sehingga 24 peratus terhadap produk Malaysia akan menjejaskan keupayaan eksport negara ke pasaran Amerika, sekali gus menjejaskan hubungan dua hala.

“AS kenakan tarif sama rata tanpa mengambil kira status hubungan diplomatik, sama ada negara itu musuh atau sekutu. Ini sememangnya menyulitkan,” katanya.

Susulan itu, Malaysia kini giat mempelbagaikan kerjasama perdagangan termasuk di peringkat ASEAN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS dan menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi global yang semakin mencabar.

Scroll to Top