kompak.my

KPM Tambah Peruntukan RM5 Juta Pasang CCTV di Sekolah

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di sekolah terpilih seluruh negara dalam usaha mempertingkat keselamatan serta menangani isu disiplin murid.

KPM dalam kenyataan berkata, langkah itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai tambahan kepada RM3 juta yang telah diperuntukkan sebelum ini bagi tujuan sama.

“Selain itu, seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah seluruh negara pada November ini bagi memenuhi keperluan semasa serta memperkukuh sokongan psikososial murid,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Bagi meningkatkan keselamatan di asrama, KPM turut melantik 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa dalam kalangan personel MySTEP bagi membantu pemantauan dan mengurangkan beban tugas warden sedia ada.

Menurut kementerian, kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan diperkukuh menerusi peranan Pegawai Penghubung Sekolah bagi memastikan pemantauan keselamatan lebih menyeluruh di semua institusi pendidikan.

“Fungsi Smart Support Team di peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) turut diperkasa untuk memberi bantuan psikososial ketika berdepan situasi krisis,” katanya.

KPM menegaskan latihan berterusan akan diberikan kepada guru bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di sekolah, selain memperkukuh peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin dalam menangani salah laku murid.

Kementerian itu juga sedang menggubal semula peraturan disiplin murid dan meneliti semula Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) bagi memastikan ia digunakan secara proaktif dalam mengurus serta menangani isu disiplin.

“Institusi pendidikan diminta memberi perhatian terhadap suara guru dan murid melalui sesi dialog serta inisiatif ‘kotak suara murid’ selaras dengan advokasi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF),” jelas kenyataan itu.

Dalam masa sama, KPM memaklumkan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan tidak lama lagi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan murid terus terjamin di sekolah.

Scroll to Top