kompak.my

Kesilapan Jalur Gemilang Cerminan Lemah Moraliti Kenegaraan-Pakar

PETALING JAYA: Kesilapan dua media berbahasa Cina menyiarkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap bukan hanya isu teknikal, sebaliknya mencerminkan kelemahan moraliti kenegaraan dan kurangnya penghayatan terhadap identiti negara.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, insiden itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas melibatkan rentetan peristiwa sebelum ini.

“Ia bukan kali pertama. Kita pernah berdepan isu tulisan Jawi, penggunaan bahasa Melayu, hingga kes bendera Malaysia dipamerkan terbalik.

“Adakah mereka ini benar-benar warganegara Malaysia? Takkan tak kenal bendera sendiri? Soalnya, di mana kesetiaan kepada negara?” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Dr Ahmad Murad turut mempersoalkan bagaimana media yang memainkan peranan penting dalam membentuk minda rakyat boleh melakukan kesilapan sebegitu.

“Kalau bendera China boleh dipaparkan dengan betul, mengapa tidak Jalur Gemilang? Ini bukan sahaja kecuaian, tetapi penghinaan simbolik kepada negara.”

Beliau menegaskan sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang.

“Jika media lain boleh dikenakan tindakan, tidak ada sebab media ini terkecuali,” tegasnya.

Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, beliau mencadangkan agar semua akhbar berbahasa Cina mewajibkan ruangan editorial dan pendapat disiarkan dalam dwibahasa – bahasa Cina dan bahasa Melayu.

“Prinsipnya jelas. Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu. Semua institusi, termasuk media, perlu patuh kepada dasar ini,” katanya lagi.

Scroll to Top