PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi menegaskan komitmen padu untuk menjayakan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam usaha membendung budaya buli yang semakin membimbangkan, khususnya sejak peringkat sekolah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan penting bahawa budaya buli bukan sahaja merosakkan emosi dan mental mangsa, tetapi juga berisiko membentuk generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan.
“Patik menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda, dan kementerian akan memastikan mesej antibuli disampaikan secara menyeluruh dan berkesan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, kementerian bakal melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli melalui pelbagai saluran seperti televisyen, radio, media sosial serta platform digital bagi memastikan mesej itu sampai kepada semua lapisan masyarakat.
Selain itu, kerjasama rentas kementerian juga akan digerakkan bagi memperkukuh kefahaman dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat.
“Kami akan mengarusperdanakan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat supaya mesej ini benar-benar membumi,” jelas beliau.
Fahmi turut menegaskan bahawa titah Seri Paduka Baginda selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh perundangan melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang memperlihatkan ketegasan kerajaan membanteras isu buli.
“Langkah ini bukan hanya tentang hukuman, tetapi membina budaya saling menghormati dan menjaga maruah sesama insan,” ujarnya.
Tambah beliau, kementerian juga akan memperluas kempen kesedaran dengan pendekatan kreatif dan interaktif, termasuk penglibatan pempengaruh digital serta personaliti muda, bagi mendekati golongan remaja dengan mesej yang lebih segar dan mudah difahami.
Isu buli kini menjadi perhatian nasional selepas beberapa kes tular di media sosial, dan kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh — merangkumi pendidikan, penguatkuasaan serta kempen awam bagi memastikan fenomena itu tidak terus berakar dalam masyarakat.



