
Sempena meraikan sambutan Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Melaka menawarkan kemasukan secara percuma di 10 destinasi pelancongan di negeri itu pada 20 Februari depan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri turut memberikan parkir percuma kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu.
Beliau berkata, kemasukan percuma itu termasuk perkhidmatan Melaka River Cruise menerusi penyediaan 15 bot di tiga jeti iaitu Jeti Pengkalan Rama, Jeti Taman Rempah dan Jeti Muara.
Selain itu, Menara Taming Sari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang); 21 muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) (9 pagi hingga 5 petang); Zoo Melaka (10 pagi hingga 5 petang, menggunakan sistem `first come first serve’), Balai Cerap Al-Khawarizmi (9 pagi hingga 5 petang).
Selain itu, Melaka Wonderland & Themepark (6 petang hingga 10 malam), Muzium Penjara Malaysia Melaka (9 pagi hingga 5 petang) dan Malaysia Heritage Studios (10 pagi hingga 6 petang).
Sementara itu Taman Laut Negeri Melaka hanya menawarkan bayaran percuma bagi aktiviti menyelam manakala lima kelab golf Melaka percuma bagi green fee.
“Tawaran dibuat berikutan 20 Februari adalah tarikh istimewa dan cuti umum di Melaka sekali gus kerajaan negeri berhasrat meraikannya bersama penduduk serta pelancong,” katanya pada sidang media di Seri Negeri pada Selasa.
Turut hadir EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abd Razak Abd Rahman dan timbalannya, Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Saari Basiron.
