kompak.my

BNM Umum Potongan OPR kepada 2.75%, Tanda Awal Pelonggaran Monetari

PETALING JAYA:Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, berkuat kuasa serta-merta, menjadikannya pelarasan pertama sejak Mei 2023.

Keputusan yang dibuat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) itu turut melibatkan semakan ke atas koridor OPR, dengan kadar siling diturunkan kepada 3.00 peratus dan kadar lantai kepada 2.50 peratus.

BNM dalam kenyataannya menjelaskan, pelarasan ini mencerminkan keperluan untuk menyesuaikan dasar monetari selaras dengan perkembangan terkini ekonomi global dan domestik.

“Pertumbuhan pekerjaan dan upah dalam sektor berorientasikan domestik serta pelbagai langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah,” jelas kenyataan itu.

Meskipun prospek ekonomi global kekal positif dengan disokong oleh perbelanjaan pengguna, dasar monetari yang akomodatif dan rangsangan fiskal, BNM turut mengingatkan mengenai risiko ketidaktentuan yang masih wujud.

“Ketegangan geopolitik dan isu berkaitan tarif boleh mencetuskan turun naik dalam pasaran kewangan serta memberi kesan kepada harga komoditi,” katanya.

Bagi ekonomi tempatan, BNM melaporkan prestasi suku kedua 2025 kekal memberangsangkan, dipacu permintaan dalam negeri dan peningkatan eksport.

Pelaburan juga terus mencatat pertumbuhan melalui pelaksanaan projek multi-tahun sektor awam dan swasta, selain didorong oleh pelan pemangkin di bawah agenda nasional.

Scroll to Top