KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau persiapan akhir menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung minggu hadapan, sambil menegaskan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi untuk memastikan sidang itu memberi kesan bermakna kepada rantau ini.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar berkata setiap perbincangan dalam sidang berprestij itu perlu menghasilkan keputusan yang konkrit serta memperkukuh hubungan antara negara anggota dan rakan dialog ASEAN.
“Sebagai Pengerusi, kita mesti memastikan setiap perbincangan membawa impak nyata, memperkukuh kesepaduan serantau dan memberi manfaat kepada semua negara anggota serta rakan dialog,” katanya.
Menurut beliau, semua jentera kerajaan dan agensi berkaitan telah diarahkan untuk melaksanakan persiapan dengan penuh ketelitian dan komitmen tertinggi bagi memastikan kelancaran acara tersebut.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dijangka menjadi platform penting membincangkan pelbagai isu utama termasuk keselamatan, ekonomi, perubahan iklim dan kerjasama strategik dengan rakan luar seperti China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan persiapan berkenaan.
“Terima kasih kepada semua petugas yang bertungkus-lumus memastikan segala urusan persiapan berjalan lancar,” katanya.
Sidang kemuncak itu dijangka menjadi medan penting untuk Malaysia memperkukuh peranan diplomatiknya di rantau ini serta menonjolkan kepimpinan ASEAN dalam menghadapi cabaran global masa kini.



