kompak.my

Anwar Tegas Isu Ambalat, Elak Ulangi Kesilapan Batu Puteh

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa cadangan pembangunan bersama antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi yang merangkumi Blok ND6 dan ND7 bukanlah satu bentuk penyerahan kedaulatan, sebaliknya inisiatif diplomatik bersifat sementara sementara menunggu penyelesaian undang-undang.

Ia juga merupakan sebahagian daripada pendekatan berhati-hati kerajaan bagi mengelakkan tragedi kedaulatan seperti yang pernah berlaku dalam kes Pulau Batu Puteh.

Apa itu Blok ND6 dan ND7?

Blok ND6 dan ND7 terletak di kawasan perairan Laut Sulawesi, iaitu laut yang memisahkan pantai timur Sabah dengan Kalimantan Utara, Indonesia.

Kawasan ini turut meliputi zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia yang telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Sempadan Benua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kedua-dua blok ini disenaraikan dalam pelan eksplorasi minyak dan gas Malaysia sejak awal 2000-an dan telah diletakkan di bawah kelolaan PETRONAS.

Namun begitu, Indonesia turut membuat tuntutan bertindih terhadap kawasan tersebut dan menamakannya sebagai sebahagian daripada ‘Blok Ambalat’.

Kerajaan Indonesia turut memberikan lesen kepada syarikat minyak seperti ENI dan Unocal untuk menjalankan penerokaan di kawasan bersebelahan yang dikenali sebagai Blok East Ambalat dan Ambalat.

Pertindihan ini menjadikan Blok ND6 dan ND7 bukan hanya bernilai dari segi ekonomi tetapi juga simbol kepada sempadan maritim yang belum dimuktamadkan sepenuhnya antara dua negara jiran yang berkongsi sejarah dan perairan yang kompleks.

Pendirian Tegas Malaysia

Dalam jawapan bertulis Kementerian Luar di Parlimen bertarikh 22 Julai 2025, Malaysia menyatakan bahawa Blok ND6 dan ND7 adalah milik sah Malaysia, berdasarkan undang-undang antarabangsa.

‘Rujukan ‘Ambalat’ kepada sebahagian blok tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan. Rujukan yang betul kepada kawasan berkenaan yang perlu digunakan selaras dengan pendirian Malaysia adalah Laut Sulawesi,” kata Wisma Putra.

Malaysia menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 yang memberi kedaulatan kepada Malaysia ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan memperkukuh kedudukan negara di kawasan perairan ini kerana kawasan tersebut berada dalam lingkungan maritim yang sama.

Perdana Menteri menambah bahawa cadangan pembangunan bersama itu belum muktamad dan masih di peringkat pertimbangan awal.

“Cadangan bersama ini adalah merujuk kepada perkara yang masih lagi di peringkat pertimbangan awal bagi meneroka kebarangkalian kerjasama tersebut dan sememangnya belum lagi dimuktamadkan,” katanya dalam Dewan Rakyat.

Penglibatan Sabah

Isu ini juga menyentuh sensitiviti wilayah Sabah kerana Blok ND6 dan ND7 terletak berhampiran perairan negeri itu. Ahli Parlimen GRS-Ranau, Datuk Jonathan Yasin, mempersoalkan sama ada kerajaan negeri dirujuk terlebih dahulu sebelum sebarang cadangan pembangunan bersama dibincangkan.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan bagi menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia,” kata Wisma Putra.

Ketua Menteri Sabah dijadual menyertai delegasi Malaysia dalam Perundingan Tahunan Malaysia–Indonesia ke-13 di Jakarta pada 29 Julai ini. Ini mengesahkan bahawa Sabah dilibatkan dalam proses pembuatan keputusan, tidak seperti kes Batu Puteh yang pernah mengabaikan suara Johor.

Respon Indonesia: Pendekatan Bersama

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menyambut baik cadangan Malaysia dan menyatakan bahawa pembangunan bersama adalah kaedah sementara yang konstruktif.

“Kami bersetuju bahawa sementara penyelesaian undang-undang diteruskan, kita akan mulakan pembangunan bersama. Apa sahaja yang kita temui di perairan itu, akan kita manfaatkan bersama,” katanya dalam sidang media bersama Anwar di Jakarta.

Indonesia menegaskan bahawa usaha ini tidak menjejaskan kedudukan tuntutan masing-masing dan sebarang pembangunan adalah di bawah konsep ‘joint development’ seperti yang pernah diamalkan antara negara lain dalam kawasan pertindihan maritim.

Belajar Dari Batu Puteh

Dalam sesi Parlimen sama, Anwar turut merujuk isu Pulau Batu Puteh sebagai pengajaran penting. Malaysia sebelum ini menarik balik semakan keputusan ICJ pada 2018, satu tindakan yang menyebabkan negara kehilangan peluang mempertahankan semula tuntutannya.

“Bekas Perdana Menteri itu berusia 100 tahun, dan adakah dia bersalah? Ya, dia bersalah. Tapi tidak perlu diambil tindakan kerana akan menimbulkan reaksi politik yang lain,” kata Anwar.

Beliau menegaskan bahawa dalam isu Ambalat, Malaysia tidak akan bertindak secara cuai atau unilateral. Segala keputusan akan dibuat berdasarkan penilaian undang-undang, teknikal dan politik yang menyeluruh, serta dalam semangat rundingan dengan negara jiran.

Isu Ambalat bukan soal siapa lebih berani, tetapi siapa lebih bijak.

Malaysia kini tidak mahu sekadar mempertahankan sempadan atas kertas, tetapi mahu membina strategi maritim yang inklusif, berasaskan undang-undang dan realiti geopolitik.

Di bawah pimpinan Anwar, pendekatan ini mencerminkan usaha menjaga kedaulatan tanpa menutup pintu kerjasama.

Perairan Laut Sulawesi yang kaya dengan sumber hidrokarbon bukan medan pertikaian semata, sebaliknya peluang untuk membina model kerjasama serantau yang menghormati sempadan, hak dan kebijaksanaan bersama.

Scroll to Top