kompak.my

Rakyat Sambut Baik Dividen KWSP 6.3 Peratus

Petaling Jaya: Pengumuman kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.3 peratus bagi tahun 2024 menerima reaksi positif daripada rakyat, khususnya dalam kalangan pencarum.

Kadar tersebut, yang melibatkan kedua-dua Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional, disifatkan sebagai satu berita baik apatah lagi dalam suasana ekonomi semasa yang masih mencabar.

Seorang pengguna media sosial di laman X, @iamjoelee menyatakan bahawa kadar dividen yang lebih tinggi berbanding tahun lalu memberikan kelegaan kepada ramai pencarum.

“Pulangan ini penting untuk masa depan kami yang banyak bergantung kepada simpanan KWSP,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat juga pandangan yang menyifatkan KWSP sebagai antara sistem dana persaraan terbaik, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Beberapa pengguna media sosial menegaskan bahawa tadbir urus baik yang diamalkan KWSP perlu dikekalkan dan tidak wajar diganggu oleh sebarang campur tangan politik.

Menurut Syed Akramin di platform sama, dividen yang diumumkan jelas membantu umat Islam dan bukan semata-mata menjadi bahan retorik tanpa langkah ekonomi yang konkrit.

“KWSP menunjukkan contoh yang baik dalam memperkukuh kewangan rakyat dan meningkatkan kesejahteraan umat Islam melalui dividen yang menguntungkan,” katanya.

Tambahnya lagi, pengurusan akaun mengikut prinsip syariah bukan sahaja menjamin pulangan yang baik, malah turut membawa keberkatan dalam simpanan jangka panjang.

Scroll to Top